Sunday, 1 September 2013

MOIST RED VELVET CAKE BY MASAM MANIS

EASY MOIST RED VELVET CAKE

Assalamualaikum
Apalah asyik buat kek aje.. siapalah yang nak makan kek banyak-banyak ni?
Persoalan yang sering ditanya..

Kerana saya masih lagi dalam proses belajar saya perlu memperbaiki diri dan kelemahan.. Practice makes perfect itulah yang sering ita tekankan pada anak-anak.. 

Bila tiba giliran ita.. ya ita juga lakukan yang sama.. belajar dan terus belajar, sentiasa memperbaiki setiap kelemahan dan memperbetulkan segala kepincangan..


Dah lama ita tak buat Si Baldu Merah ni.. Entah kenapa teringin pula anak tekak ni nak merasa. Biasa ita lebih sukakan kek yang lebih ringan dan lebih gebu. Pada ita kek sebegitu tidaklah muak sangat. Bertambah dengan krim frosting yang sedikit ringan. 

Ita ni suka membuat aje.. makan tu kurang.. 
Tapi kalau tak buat macam mana nak tau sedap ke tidak.. sesuai atau tidak dengan selera dan citarasa. 

Suami ita memang peminat kek, berbeza dengan ita, beliau lebih gemarkan kek yang sedikit padat dan berat. Cream cheese frosting adalah kegemaran utamanya. Kerana dah lama menetap di negara sejuk, lidah beliau lebih peka dan amat mudah bagi ita untuk meminta pendapat tentang kek yang ita sediakan. 
Kalau sedap padanya dia akan memuji-muji kesedapan kek tersebut.. bila terasa kurang, beliau akan berikan pandangan dan buah fikiran.
Dari situlah ita belajar memperbaiki setiap kelemahan diri.


Kenapa tak buat kelas dan mengajar?
Kenapa ya..
Terasa diri ini terlalu naif.. banyak lagi kekurangan yang perlu diperbaiki. Ita suka belajar.. dan suka mencuba. Ita lebih seronok mengajar adik-adik yang baru berjinak-jinak nak ke dapur.. dan blog ita juga untuk mereka yang baru nak kenal dapur macam anak-anak ita juga..
Sekurang-kurangnya mereka dapat menyediakan sendiri atau menjadikan ianya sebagai pendapatan sampingan. Dapat lah buat bayar yuran pembelajaran yang mahal tu.. tak lah membebankan ibu bapa di kampung.

Bagi yang berkemampuan.. sillah belajar dengan yang pakar.. banyak kelas mengajar yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Pilih sahaja mana yang berkenan di hati. Ita hanya mengajar di blog untuk mereka yang kurang berkemampuan untuk membayar yuran kelas yang mahal.. adik-adik atau anak-anak yang tinggal di luar negara yang berjauhan dari keluarga yang sukar untuk mendapatkan makanan yang halal.. bila dah boleh buat sendiri.. Alhamdulillah.. ita pun tumpang seronok..

Jadi jangan lah ada pandangan serong pada ita.. Blog ita ni adalah teman ita dikala ita sunyi bila berjauhan dengan anak-anak. Ia lah penghibur ita. Koleksi resepi adalah himpunan resepi yang telah ita cuba dan menepati selera kami sekeluarga. Ia adalah harta yang tak ternilai yang hanya dapat ita turunkan buat satu-satunya anak dara yang ita ada. Manalah tahu kalau umur ita tak panjang esok, disinilah tempat Dalili merujuk untuk menyediakan hidangan buat ayah dan abang-abangnya nanti..


Alo.. lo.. lo.. nampak dah nak gerimis.. sebelum hujan baik kita terus sahaja kepada cara penyediaan kek ni.
Pertama terima kasih kepada Hana kerana memperkenalkan blog ini kepada rakan-rakan. Dapat lah ita mencuba.. nampak macam menarik aje..

Resepi dari Divas Can Cook dan ita ikut sebijik resepi yang dicadangkan. Ita tukarkan kepada sukatan gram untuk memudahkan lagi rujukan.


EASY MOIST RED VELVET CAKE

360 gm tepung gandum
1 sudu teh baking powder
1 sudu teh soda bikarbonate
1 sudu teh garam
2 sudu besar serbuk koko
400 gm gula halus
1 cawan minyak jagung
2 biji telur A
1 cawan buttermilk
2 sudu teh esen vanilla
1 sudu besar pewarna merah ~ ini bergantung pada pewarna yang digunakan
1 sudu teh cuka masakan
1/2 cawan air kopi / Nescafe panas ~ mesti letak untuk dapatkan kek yang lembab

Panaskan oven pada suhu 170C ~ 180C bergantung pada kepanasan oven
Sediakan 2 loyang berukuran 8 inc, sapukan mentega dan letakkan lapik kek ~ ketepikan

Dalam bekas, satukan dan ayak tepung, baking powder, soda , serbuk koko dan garam ~ ketepikan
Dalam bekas yang besar, satukan gula dan minyak
tambahkan telur, buttermilk, esen vanilla dan pewarna, gaul rata dengan whisk atau spatula
Tambahkan air kopi panas dan cuka masakan
Tambahkan bahan tepung yang di ayak sedikit-sedikit dan gaul adunan rata
Tuang adunan sama banyak dalam 2 loyang
Bakar dalam ketuhar selama 40 minit atau sehingga kek benar masak
cucuk ditengah kek dengan lidi untuk menentukan kek telah masak. Jika lidi keluar bersih dan licin, ini bermakna kek telah dibakar sempurna, jika tidak tambahkan lagi masa membakar.

Sejukkan kek atas redai setelah masak
Potong atas kek yang keras. 
Potong kek kepada 4 kepingan ~ rujuk sini untuk cara memotong kek


Untuk krim yang lembut dan meleleh boleh cuba resepi ini

Krim Keju 1

150 gm krim keju
30 gm mentega tanpa garam
60 gm gula aising
1 sudu teh esen vanilla
1 sudu teh paste Lemon

Pukul krim keju dan gula hingga kembang
Masukkan mentega, esen vanilla dan lemon paste
pukul sebati

Untuk krim keju yang ita gunakan

Krim Keju 2

200 gm krim keju
1 sudu teh lemon Paste
90 gm coklat masakan putih
150 gm krim bukan tenusu ~ Non Dairy Whipping Cream
8 gm gelatin
30 gm air

Cairkan gelatin ~ rujuk sini
Cairkan coklat masakan cara double boiler
Satukan gelatin cair dalam coklat putih
Pukul krim keju dan paste lemon hingga lembut
Tambahkan adunan gelatin dan coklat putih
Dalam bekas pemutar lain, putar krim keju hingga kental
Satukan krim putar dalam krim keju dan kaup balik rata



Kaedah Penyediaan Kek Brick

Resepi ini hanya boleg gunakan resepi Krim Keju 2 

Potong 4 keping kek dengan acuan cutter yang berbeza
2 keping dengan 3 acuan cutter
2 keping lagi dengan 2 acuan cutter bulat yang berbeza saiz sila rujuk gambar 1

Mulakan dengan kek yang kita potong kepada 3 cutter
Sapukan krim keju pada bahagian yang telah kita potong dengan cutter bulatan tadi rujuk gambar 2
Ratakan atas kek dengan krim keju nipis sahaja rujuk gambar 3
Letakkan pula lapisan kek yang kedua
Untuk lapisan ini kita perlu ceraikan kek tersebut, letakkan bahagian yang dalam dulu, letakkan krim dan cantumkan bahagian-bahangian yang lain hingga habis rujuk gambar 4 dan 5
Ulang proses hingga habis
Ratakan keseluruhan kek dengan krim keju dan simpan dalam peti ais
Decolah kek mengikut pilihan

Ita gunakan buttercream untuk bunga dan batangnya menggunakan ganache coklat



Selamat Mencuba

No comments:

Post a Comment